1Silat - Unity in Diversity

Tuesday 1 September 2009

Turun ilmu silat

PONTIAN: Menyedari timbul pelbagai kepincangan di kalangan generasi muda sejak kebelakangan ini, bekas juara silat bertaraf dunia, Md Yahya Hashim, 51, bertekad membawa lebih ramai golongan itu mempelajari seni mempertahankan diri warisan Melayu itu dalam usaha mengelakkan mereka terjerumus dalam aktiviti tidak berfaedah.

Menurut Md Yahya, beliau yakin ilmu persilatan mampu melahirkan individu yang mempunyai semangat kecintaan tinggi kepada negara selain membentuk jati diri golongon yang bakal mengambil alih kepimpinan negara di masa akan datang.

“Mempelajari silat pada mata kasar hanyalah untuk mempertahankan diri, sedangkan yang sebenarnya ilmu persilatan hanya boleh dikuasai jika seseorang itu mempunyai semangat untuk menjadi terbaik.“Paling penting dalam mempelajari silat ialah disiplin. Jika seseorang itu gagal menepati tuntutan ini maka dia tidak akan berjaya menguasi ilmu persilatan,” katanya.

Md Yahya berkecimpung dalam ilmu persilatan sejak 35 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu pelbagai kejayaan diperoleh termasuk paling juara kejohanan silat terbuka Indonesia dan Singapura pada 1992.

Beliau turut memperoleh kejayaan pada pertandingan solo di Belanda pada 1993 dan seterusnya menjuarai kejohanan silat dunia di Thailand pada 1995.Walaupun sudah bersara dari peringkat antarabangsa, pembabitan Md Yahya dalam dunia persilatan tidak terhenti di situ apabila beliau diberi kepercayaan mengajar ilmu silat di dua sekolah iaitu Sekolah Datuk Penggawa Barat dan Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian, selain mengendalikan gelangang silat di halaman rumahnya.

Md Yahya sering mendapat undangan untuk membuat pertunjukan silat dan yang terbaru, beliau bersama anak muridnya diberi penghormatan membuat persembahan di Kejohanan Silat Olahraga 4 Penjuru Piala Pendekar Selatan 2009 Kali Pertama Di Dewan Jubli Intan, Pontian anjuran Majlis Sukan Daerah (MSD) Pontian dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, baru-baru ini.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/MetroPlus/20090710114814/Article/index_html

No comments:

Post a Comment