1Silat - Unity in Diversity

Monday, 7 September 2009

Sasaran Dua Pingat Emas Realistik, Kata Penyelaras Silat

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Sasaran untuk meraih dua pingat emas di temasya Sukan SEA Laos adalah realistik berdasarkan kepada tahap persaingan yang tinggi daripada negara-negara peserta lain, kata penyelaras sukan itu, Osman Nok.

Beliau berkata sasaran dua pingat emas iaitu satu dalam acara silat seni dan satu lagi pada silat olahraga dibuat agar tidak memberi tekanan kepada pesilat negara."Sekiranya pesilat-pesilat kita berjaya memperoleh pingat emas lebih daripada jumlah yang disasarkan, ia adalah satu bonus kepada mereka," katanya pada sidang akhbar persiapan skuad pencak silat negara menjelang Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, Isnin.

Pencapaian terbaik skuad pencak silat negara sepanjang tahun ini ialah meraih satu pingat emas, tiga perak dan dua gangsa pada temasya Sukan Bela Diri Asia pertama di Bangkok, Thailand pada 1 hingga 9 Ogos lepas.Pingat emas tunggal Malaysia diraih menerusi Emy Latip dalam acara Tanding Putri kategori C.

Pada temasya Sukan Sea 2007 di Korat, Thailand, skuad pencak silat negara hanya mampu meraih satu pingat perak serta enam gangsa dan pencapaian terbaik mereka ialah pada 2001 di sini, dengan lima pingat emas, satu perak dan empat gangsa.

Semasa di Korat, pingat perak diperoleh menerusi Rina Jordana Adnan dalam kategori bawah 50kg, manakala enam gangsa pula dimenangi Mastura Sapuan (lebih 65kg wanita), Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak (bawah 55kg wanita), Malini Mohamad (bawah 60kg wanita), Ahmad Shahril Jailudin (bawah 65kg lelaki), Emy Latip (bawah 65kg wanita) dan Faizal Abdullah (bawah 80kg lelaki).

Osman berkata Malaysia akan mengambil bahagian dalam 12 daripada 19 kategori yang akan dipertandingkan dalam acara pencak silat pada Sukan SEA Laos itu nanti.

"Kita akan menghantar 10 pesilat untuk acara silat olahraga dan beberapa pesilat untuk acara silat seni."Sekarang ini, kita mempunyai 18 pesilat yang sedang menjalani latihan di MSN.

Bagaimanapun, senarai akhir pesilat yang terpilih untuk beraksi di Laos hanya akan diumumkan Oktober depan," katanya.Katanya kesemua 18 pesilat kini giat menjalani latihan di MSN bagi menghadapi Kejohanan Pra-Sukan Asia Dalam Dewan yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam pertengahan bulan ini.Vietnam bakal menjadi tuan rumah kepada temasya Sukan Dalam Dewan Asia ketiga pada 30 Okt hingga 8 Nov, di mana acara pencak silat menawarkan 16 pingat emas.

Selain pencak silat, temasya Sukan SEA Laos dari 9 hingga 12 Dis depan juga menawarkan 25 jenis sukan lain iaitu olahraga, memanah, renang, badminton, biliard dan snuker, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, sepak takraw, menembak, tenis ringan, ping-pong, taekwondo, tenis, bola tampar, gusti, angkat berat, wushu, muay thai, petanque, timang bulu ayam, dan renang sirip.

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newssport.php?id=438757

No comments:

Post a Comment