KUALA LUMPUR - Jika Vietnam agak jauh meninggalkan Malaysia sejak beberapa tahun lalu, jurang itu kali ini diyakini sudah semakin dirapatkan oleh pesilat negara menjelang ke Sukan SEA Ke-25 di Laos, Disember ini.
Ia juga dibuktikan dengan kejayaan seorang pesilat puteri Malaysia membawa pulang sebutir pingat emas selain sumbangan tiga perak dan dua gangsa rakan sepasukannya daripada Sukan Seni Tempur Asia Pertama di Bangkok, Julai lalu.
Jurulatih silat olahraga, Mat Nor Mahmood mendapati prestasi semasa pesilat Vietnam sudah tidak banyak berbeza dengan anak buahnya seperti yang dinilainya dalam sesi persahabatan dan beberapa kejohanan, baru-baru ini.
"Sejak saya melatih skuad negara, Mac lalu dan menerusi pemerhatian dalam beberapa sesi persahabatan dan pertandingan dengan mereka, sudah banyak yang dicungkil dan saya dapati, kita sudah boleh menewaskan mereka.
"Hanya dengan Indonesia, kita belum dapat memerhati cara bertarung pesilat mereka. Di Bangkok, Julai lalu, saya tidak berpeluang menilainya kerana menguruskan pesilat yang lebih banyak menentang Vietnam," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Mat Nor juga terkilan dengan kekurangan kejohanan antarabangsa anjuran republik itu bagi menguji kemampuan anak buahnya selain Terbuka Palembang, Terbuka Paris, Jemputan Asia dan Sukan Seni Tempur Asia di Bangkok.
Malaysia mencatat prestasi terburuk dalam sejarah pencak silat Sukan SEA apabila hanya sebutir perak dan enam gangsa dibawa pulang dari Korat, dua tahun lalu tetapi tetap menyasarkan dua emas di Laos.
Malah pengurusan pasukan memutuskan bahawa hampir semua pesilat daripada skuad di Korat, masih mampu dipertaruhkan sekali lagi bagi memikul cabaran Laos dan cuma dua orang digugurkan iaitu Mohd. Azrin Malek dan Mastura Safuan.
Salah seorang harapan emas negara ialah Emy Latip yang menjuarai Kelas C (55 hingga 60 kilogram Sukan Seni Tempur Asia Pertama, Julai lalu dengan menewaskan pesilat Thailand 4-1 selain berpengalaman beraksi dalam tiga Sukan SEA sejak 2003.
Bagi persediaan ke Laos, skuad negara sudah menyenaraikan 18 pesilat tetapi cuma akan menghantar 12 orang (silat olahraga dan silat seni) dalam merebut 12 daripada 19 pingat emas yang dibenarkan untuk ditandingi.
Kata Penyelaras Pencak Silat, Osman Nok: "Kuota pesilat negara ke Sukan SEA Laos adalah untuk enam putera dan empat puteri bagi silat olahraga sementara seorang putera dan seorang puteri bagi silat seni.
"Kami pun baru pulang daripada program penyesuaian tempat dan sesi persahabatan dengan skuad silat Laos selama dua minggu dan senarai 12 pesilat Sukan SEA akan diputuskan selepas Sukan Dalam Dewan Asia Ketiga di Hanoi dari 23 hingga 30 September ini.
"Sasaran di Laos ialah dua emas masing-masing menerusi silat olahraga dan silat seni tetapi seperti biasa, Indonesia dan Vietnam akan menjadi pencabar utama kita," katanya yang juga ahli exco Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm
No comments:
Post a Comment