Pernah saya bincangkan konsep seni dengan konsep sukan. Kita berbangga atas dakwaan bahawa silat kita sebenar-benarnya silat yang berseni. Berbeza sangat dengan kebanyakan silat yang terkenal ketika itu yang bertaraf sukan. Ukuran ini meliputi kaedah mengambil buah dan bentuk-bentuk buah pukulan dan kuncian. Saya tidak akan membincangkan konsep tersebut secara terperinci dalam ruangan ini. Kalau berminat maka rujuklah tulisan saya yang terdahulu.
Apabila tertubuhnya PESAKA sebagai badan penyatu silat seluruh negara, silat Olahraga diperkenalkan. Semua silat boleh ditandingkan dalam satu disiplin yang khusus. SC yang merupakan salah satu silat yang menjadi keahlian PESAKA telah terpaksa melibatkan diri dalam kegiatan silat tersebut. Ustaz telah merestuinya. Beberapa tenaga pengajar SC telah diberi kursus pada tahap pemulaan. Oleh sebab organisasi SC lebih kukuh dan tersusun, maka tanggungjawab merealisasikan hasrat Pesaka telah diberatkan kepada kita. Kita mempunyai ramai cerdik pandai dan pemikir yang berkebolehan untuk menjalankan apa saja aktiviti berdasarkan silat.
Sejarah penglibatan saya dalam Silat Olahraga (SO) bermula pada awal tahun 1984 apabila saya dihantar berkursus oleh Jabatan Kebudayaan Negeri di negeri Johor. Jurulatihnya adalah daripada Indonesia. Seingat saya hampir dua minggu saya berada di sana. Pelajaran yang saya terima, kemudiannya saya kembangkan dalam negeri saya. Di bawah Majlis Mesyuarat Negeri, saya sendiri menganjurkan kursus-kursus bagi melahirkan Wasit, Juri dan Seketariat pertandingan. Oleh sebab dalam negeri sendiri SC merupakan organisasi yang kukuh maka tanggungjawab melaksanakan hasrat jabatan tersebut juga diserahkan kepada SC. Begitu tinggi pengharapan yang diberi kepada kami.
Puncak kejohanan SO peringkat kebangsaan yang sunggu hebat ialah pada tahun 1984 juga. Semua negeri menyertainya. Sudah semestinya daripada negeri saya, SC-lah peneraju utama. Kelas yang tidak diwakili oleh SC kerana tiada ahli yang seberat demikian rupa. Di peringkat pusat, SC, Gayung, Lincah dan Gayung Fatani menjadi pesaing utama. Saya dilantik sebagai ketua Pertandingan dalam satu gelanggang. Saingan hebat SC ialah Lincah. Tambahan pula kita ada kenangan sejarah dengan mereka.
Terdapat beberapa peristiwa yang mengundang kenangan pada saya pada tahun pertandingan SO tersebut. Kedudukan saya sebagai ahli SC tidak diketahui oleh penganjur SO. Mereka menganggap saya daripada pesilat negeri. Ketika majlis timbang dan undian, saya menjadi salah seorang pegawai tekniknya. Semasa undian, silat-silat yang terpaksa bertemu dengan SC akan mengeluh sendirian terutama daripada persilatan Gayung, Gayung Fatani dan Lincah. Saya hanya tersenyum puas. Rupa-rupanya SC sangat digeruni. Mereka tahu akan penangan silat yang bersifat ringkas. Tapi senyuman dalam hati. Takut dikatakan berat sebelah. Sepanjang pertandingan sudah semestinya SC menjadi fokas utama. Wasit dan Juri daripada persilatan lain ramai yang anti dengan kita. Banyak keputusan yang tidak menyelebelahi pihak kita walaupun ketara sangat kelebihan kita. Pada satu ketika Ustaz sudah memakai jaket sahaja. Sanggup menghadapi kemungkinan yang ada. Tapi syukur, kita masih lagi banyak bersabar.
Saya juga terlibat dalam satu keputusan yang kontroversi. Gelanggang yang saya awasi sedang berlangsung pertandingan antara pesilat SC dengan Lincah. Ketika itu gelanggang bersebelahan sedang berlangsung pertandingan antara ahli cawangan saya yang mewakili negeri dengan pesilat daripada Gayung Fatani. Banyak sangat markah pesilat saya yang dipotong kerana melanggar peraturan. Teruk pesilat dari Gayung Fatani dibelasah oleh penuntut saya yang sememangnya terkenal sifat beraninya. Sayangnya beliau tidak ikut peraturan SO. Ketika fikiran saya tertarik pada gelanggang yang lain, gelanggang sendiri menerima padahnya. Ketika pengisytiharan pemenang, saya mengisytiharkan sudut yang salah sebagai pemenang. Sudut itu adalah pesilat Lincah. Bila diketahui kesilapan, secara sepontan saya ubah keputusan setelah menyatakan kesilapan. Sudut yang satu lagi diisytiharkan menang. Apa lagi. Geram sungguh puak-puak Lincah. Apabila mereka tahu yang saya juga adalah ahli SC maka kemarahan mereka semakin ketara. Saya dikatakan cuba mengaibkan mereka. Guru mereka OD memberi salam kepada saya. Ketika itu sikitpun hati tak terasa apa. Ustaz pun ada. Selesai pertandingan ada kalangan mereka cuba mengikuti saya dengan kereta. Geng kami daripada SC cawangan negeripun ramai. Di Kuala Lumpur, kami bermalam di Jalan Putera. Tak berani pulak kereta mereka mengekori kami apabila ternampak rumah persatuan.
Esoknya majlis bersambung. Hati sungguh yakin. Azimatnya telah ada dalam poket saya. Hasil petua daripada Ustaz. Serbuk rempah azimatnya. Boleh diguna secara tiupkan rempah tersebut pada muka mereka. Kemudian bertindaklah dengan sepatutnya. Petua yang simple tapi menyakinkan saya. Akhirnya petua tersebut menjadi sesuatu yang melucukan dalam kenangan hidup saya.
Dalam pertandingan SO, sebelum berentap dalam gelanggang setiap pesilat perlu menunjukkan tarian. SC tidak ada tarian tapi dimestikan menunjukkan gerak tari. Oleh itu petua gerak tarian diberi oleh Ustaz berdasarkan gerak kaedah yang empat dan diakhiri dengan doa. Petua ini bukan perkara baru bagi saya. Ustaz pernah tunjukkan tapi dalam konteks yang berlainan. Dalam zaman Pak Ak, gerak itu dikenali sebagai Gerak Hanafi. Siapa yang beri nama saya tak pasti. Saya tidak ada di sana. Tapi saya berkeyakinan bahawa gerak itu telah diubah suai oleh Maidin. Ketika mengakhiri gerak dengan kaedah doa, sambil duduk tangan tangan dan kiri digoyang-goyangkan ke depan dan ke belakang. Pada saya nampak pelik sangat. Macam meraba bahagian belakang tapi pakai dua tangan. Seingat saya tahun 1984 adalah merupakan pengakhir tahun penglibatan SC dalam pertandingan SO di peringkat pusat. Di peringkat negeri saya, SC terus mengambil bahagian. Arahan menarik diri tak pernah saya terima. Walau bagaimanapun penglibatan kita dalam SO telah melahirkan Gerak Hanafi. Dalam setiap persembahan kita, Gerak tersebut cuba dimasukkan. Tapi gerak itu tidak popular di tempat saya. Pertamanya asal usulnya bersabit SO dan keduanya dipopularkan oleh Maidin dengan gerak pelik doanya. Saya mengharamkan gerak tersebut di kalangan penuntut saya dengan alasan itu bukannya Gerak Hanafi tapi Gerak Maidin.
Terkenang akan peranan saya sebagai Setiausaha Majlis Silat Negeri. Kedudukan ini telah menjadikan SC cawangan saya semakin terkenal. Terkenal kerana pengurusan organisasi kami yang kukuh. Semua akitiviti berbentuk kursus atau pertandingan atau sebagainya, ahli-ahli SC yang memainkan peranan. Kami bersatu hati di bawah satu kepimpinan. Walaupun banyak tok guru silat sebagai ahlinya tapi pengetahuan mengerakkan organisasi amat kurang dan tiada keupayaan.
Apabila Majlis Mesyuarat Negeri makin mantap ramai tokoh-tokoh silat yang amat berminat. Ketika itu penolong saya adalah daripada silat yang lain. Saya latihnya dengan sepenuh hati. Malangnya ada usahanya untuk menjatuhkan saya. Apabila saya ketahuinya maka dengan rela hati saya mengundur diri. Malangnya selepas pengunduran saya Majlis Silat Negeri telah menjadi tak tentu hala. Namapun berubah kepada Pesaka Negeri. Itulah akibatnya jika bekerja atas kepentingan tertentu. Beberapa tahun kemudian datang satu rombongan berjumpa saya. Ingin memujuk supaya saya menyertainya semula. Maka kata saya, “Kalau saya meludah tak akan saya jilat balik.” Kecewa mereka. Hingga sekarang jadilah organisasi itu yang tidak berjiwa. Dah jadi tak tentu hala. Semuanya kerana kepentingan diri. Hilang keikhlasan bekerja. Tapi ada yang kata menjilat air yang diludah sungguh enak sekali. Kata-kata bestari daripada golongan satu lagi. Mereka yang mencubanya.Sekian dulu setakat ini.
Sumber: http://sepakminang.blogspot.com/2009/08/silat-olahraga.html
No comments:
Post a Comment