SKUAD silat negara mempunyai misi penting pada temasya Sukan SEA XXV di Laos Disember depan.
Selepas hanya mengutip satu perak dan enam gangsa pada temasya yang sama di Korat dua tahun lalu, skuad silat negara kali ini berazam untuk memperbaiki pencapaian tersebut dengan menyasarkan dua kilauan emas di bumi Laos nanti.
Keyakinan yang disuarakan oleh penyelaras skuad silat negara, Osman Nok itu adalah berdasarkan peningkatan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya sepanjang Pro- gram Cabaran 2010 yang bermula sejak tahun lalu.
Menurut Osman, sejak memula- kan program tersebut tahun lalu, pesilat negara kini dilihat semakin matang untuk merealisasikan sasaran dua emas ini, iaitu masing- masing dalam kategori silat olahraga putera dan dan silat seni puteri.
"Skuad silat negara telah menyertai Program Cabaran 2010 sejak 2008 lagi sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Laos hujung tahun ini," kata Osman pada sidang media di Bukit Jalil semalam.
"Seramai 18 pesilat kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) telah dipilih menyertai program ini dan pada tahun ini sahaja kita juga telah menyertai beberapa kejohanan silat di dalam dan luar negara.
"Justeru, sepanjang tahun ini, saya dapat lihat peningkatan yang dipamerkan oleh pesilat kita dan saya yakin mereka sudah bersedia sepe- nuhnya untuk berjuang memenangi dua pingat emas, sekali gus memperbaiki pencapaian satu perak dan enam gangsa di Korat dua tahun lepas," ujarnya lagi.
Sebagai pendedahan awal, skuad silat negara telah menyertai beberapa kejohanan dalam program ini termasuk Terbuka Palembang di Indonesia, Terbuka Paris, Kejohanan Jemputan Asia di Kuala Lumpur, Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Pertama di Bangkok dan beberapa pertandingan persahabatan dengan Vietnam.
Menurut Osman, seramai enam pesilat putera dan empat pesilat puteri akan menggalas cabaran dalam acara silat olahraga manakala silat seni pula menyaksikan satu acara sahaja yang akan disertai oleh pesilat putera dan puteri.
"Daripada 19 acara keseluruhan yang dipertandingkan, kita hanya menyertai 12 acara sahaja dan daripada acara itu, kita sasarkan dua pingat emas, kalau dapat lebih ia satu bonus buat kita.
"Begitupun, kita tidak boleh memandang mudah keupayaan Vietnam, Indonesia dan Thailand kerana mereka juga memiliki pesilat yang hebat. Saya jamin pesilat kita akan memberi aksi sebaik mungkin untuk mengharumkan nama Malaysia di Laos nanti," tambah Osman lagi.
Sebagai persiapan akhir, skuad silat negara juga akan menyertai Kejohanan Silat Dalam Dewan Pra ASEAN di Hanoi pada 23 hingga 30 September ini sebelum mengumumkan senarai akhir awal Oktober depan.
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm
No comments:
Post a Comment