1Silat - Unity in Diversity

Saturday 1 August 2009

Kejohanan silat semai cinta terhadap warisan

Kejohanan Pencak Silat Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan dan Jemputan akan diadakan bermula pada 17 Ogos sehingga 21 Ogos ini di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Selangor.

Selain terbuka untuk pelajar sekolah di negara ini, beberapa negara seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand dan Singapura akan dijemput untuk menyertai kejohanan pada tahun ini.
Dua kategori dipertandingkan iaitu silat seni dan silat olahraga.

Kategori silat seni terbuka kepada pesilat sekolah menengah tingkatan satu hingga tingkatan enam dan pesilat sekolah rendah tahun empat hingga enam sahaja.

Kategori silat olahraga pula terbuka kepada pesilat sekolah menengah tingkatan dua sehingga tingkatan lima yang berumur 13 tahun sehingga 18 tahun pada hari pertandingan.

Turut diadakan pada kejohanan tersebut ialah pertandingan seni silat muzik iringan yang hanya terhad kepada muzik tradisional dan muzik asli sahaja.

Setiap pasukan mesti mempunyai gendang ibu, gendang anak dan gong serta dua alat pilihan serta dua alat tambahan dengan tidak melebihi tujuh alat kesemuanya menggunakan alat tradisional.

Matlamat kejohanan itu adalah untuk menyemai dan mengukuhkan rasa cinta para pelajar terhadap warisan budaya bangsa.

Selain itu adalah untuk melahirkan generasi yang berdikari, bersikap positif, sabar dan berani menghadapi cabaran dan yakin pada diri termasuk menyediakan pelbagai aktiviti silat di sekolah.

Melalui kejohanan itu, tahap pencapaian diri pelajar dalam kokurikulum seni bela diri dan kemampuan pelajar dalam menghayati seni silat sebagai warisan budaya bangsa dapat dinilai.

Selain itu, nilai-nilai murni melalui falsafah persilatan kepada generasi kini untuk mencapai aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat disemai di samping menanam semangat kesukanan yang positif, memupuk semangat kerjasama dan toleransi.

Tema kejohanan tahun ini ialah Silat Untuk Semua yang menjelaskan melalui silat ia boleh membentuk semangat integrasi kaum dan bangsa dalam negara ini.

Sumber: http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2008&dt=0806&pub=DuniaPendidikan&sec=Aktiviti&pg=ak_02.htm

No comments:

Post a Comment