Pada hujung minggu lepas (13 & 14 Jun) telah berlangsung pertandingan silat antara perguruan silat di Kuching. Antaranya ialah perguruan Silat Helang Putih Perkasa, Asli Cimandei, Warisan Melayu, Betawi, Hailam Laut, 4 Serangkai, dan banyak lagi. Beberapa kategori pertandingan telah diadakan seperti silat olahraga mengikut kelas berat badan, jurus wajib (regu) dan seni tari silat (tunggal, bebas, ganda).
Antara perguruan yang menarik perhatian ialah pasukan dari Persilatan Asli Cimandei. Kehadiran mereka kali ini begitu bergaya lengkap dengan pakaian track, bendera pasukan, pot mineral dan lain-lain. Boleh dikatakan pasukan ini antara yang teratur pengurusannya. Syabas diucapkan kepada pengurusan pasukan ini.
Namun demikian, beberapa pasukan lain turut memberi saingan yang sengit. Antara yang begitu jelas ialah pasukan dari Perguruan Silat Helang Putih Perkasa. Walaupun hanya menurunkan 6 pesilat silat olahraga, namun kejayaan mereka memenangi 4 tempat pertama dan 2 tempat kedua adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan. Tahniah diucapkan kepada ketua jurulatih mereka iaitu saudara Mozy dengan dibantu oleh saudara Amy Borhan.
Secara keseluruhannya, terdapat banyak kelemahan yang perlu dibaiki oleh semua pasukan yang menyertai pertandingan ini memandangkan pesilat-pesilat yang terpilih bakal bersaing bagi merebut tempat untuk mewakili Sarawak untuk pertandingan silat SUKMA tahun depan.
Penganjuran pertandingan ini juga mempunyai banyak kelemahannya yang perlu diperbaiki agar pengurusan pertandingan seumpama ini pada tahun depan dapat diuruskan dengan lebih licin lagi. Namun, penghargaan patut diberikan kepada Cikgu Amir Mahmud dan isteri beliau (Cikgu Misrah) kerana telah memberi komitmen yang sangat tinggi dalam menguruskan pertandingan ini dengan jayanya.
Saya percaya, tanpa 2 individu ini, sudah pasti "Kuching Close" pada tahun ini akan gagal.
Sekali tahniah kepada mereka.
Tidak dilupai barisan wasit dan juri yang bertugas bertungkus lumus agar pengadilan pertandingan ini dapat dijalankan dengan sebaik dan setelus yang boleh. Tahniah kepada anda semua tanpa mengira masa atau wang ringgit.
Saya berharap satu "post-mortem" dapat dijalankan segera bagi mengenalpasti punca kelemahan serta kekuatan penganjuran pada kali ini. Begitu juga dengan pengurusan yang akan mengurus pasukan silat Bahagian Kuching dapat dibarisi oleh mereka yang benar-benar bertanggungjawab dan sedia berkhidmat demi memartabatkan silat Sarawak.
Semoga semua pesilat Bahagian Kuching akan mencapai kejayaan yang lebih membanggakan pada tahun ini pada pertandingan yang seterusnya.
Sumber: http://kelebarmalam.blogspot.com/2009/06/pertandingan-silat-tertutup-kuching.html
No comments:
Post a Comment