1Silat - Unity in Diversity

Friday, 2 March 2007

UTM kutip 2 perak, 2 gangsa dalam Kejohanan Pencak Silat Piala TNC (HEP)

Pasukan Silat UTM berjaya membawa pulang 2 pingat perak dan 2 pingat gangsa dalam kategori Silat Olahraga dalam Kejohanan Pencak Silat Piala Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni) Universiti Malaya yang diadakan pada 1 hingga 4 Februari di Dewan Sri Tanjung, Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, Universiti Malaya.

Kejohanan ini disertai oleh 12 buah kontinjen daripada IPTA-IPTA seluruh Malaysia, antaranya Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan beberapa
IPTA lain.

Menurut Jurulatih pasukan Silat UTM, Ahmad Adli Ghazali, pasukan UTM menghantar sembilan orang pesilat ke kejohanan ini.

"Walaupun menjalani latihan singkat serta kurang berpengalaman bagi menghadapi kejohanan besar seperti ini kejayaan merangkul 2 pingat perak dan 2 gangsa jelas memperlihatkan kesungguhan serta komitmen yang tinggi daripada para pesilat".

"Ramai menjangkakan pesilat UTM akan menjadi 'pesilat belasahan' di kalangan pasukan lain diperingkat saringan".

"Namun jangkaan mereka meleset sekali kerana 2 pesilat kita berjaya ke peringkat akhir dan 2 lagi ke separuh akhir. Walaupun tewas, prestasi mereka cukup memberansangkan dan mendapat pujian penonton".

"Selepas ini , mereka akan beraksi pula di dalam kejohanan MASUM yang akan berlangsung pada bulan Mei nanti," katanya.

Jelas Adli lagi, "Komitmen, latihan yang cukup serta peralatan yang lengkap amat diperlukan untuk menjadikan pasukan Silat UTM satu pasukan yang benar-benar mantap dan mampu mengharumkan nama UTM pada masa akan datang.

"Taraf permainan Silat khususnya Silat olahraga perlu dipertingkatkan sejajar dengan imej UTM sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi yang mementingkan adat serta warisan budaya," katanya.

Penutupan rasmi kejohanan dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, En. Mohd Razy Mohd Nor.

Dalam ucapannya beliau berkata, "Silat merupakan salah satu unsur di dalam pembentukan jati diri bangsa Melayu".

"Apatah lagi pada masa sekarang, anak- anak Melayu seperti sudah hilang jati diri dan tidak mampu untuk mengharungi pelbagai rintangan yang bakal dihadapi. Oleh itu mereka khususnya mahasiswa, perlulah mendapatkan semula jati diri dan kegemilangan bangsa Melayu tersebut," katanya.

Sumber: http://web.utm.my/skpost/index2.php?option=content&do_pdf=1&id=599

No comments:

Post a Comment