1Silat - Unity in Diversity

Wednesday 1 April 2009

Pesilat Harumkan Nama UPSI dalam Acara Sukan SO Antara Universiti ASEAN

Bertubuh kecil namun mempunyai semangat juang yang tinggi. Mewakili negara dan telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam acara Silat Olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA). Acara pertandingan silat olahraga tersebut yang telah diadakan di Universiti Malaya selaku tuan rumah kepada kejohanan tersebut bermula dari 11 Disember hingga 21 Disember 2008. Pencapaian siswi Pendidikan Sains Kejurulatihan dari Fakulti Sains Sukan cukup membanggakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam kesibukan sebagai pelajar semester empat di UPSI, Wan Nurul Hidayu binti Wan Abdul Razak telah membuktikan kegiatan ko-kurikulum boleh memperkasakan jatidiri dan melonjak nama UPSI. Sidang Editor berkesempatan untuk mewawancara pemenang pingat emas dalam acara Silat Olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA). Semoga wawancara ini akan memberi lebih motivasi kepada semua staf dan juga para pelajar untuk mengharumkan nama UPSI di peringkat antarabangsa.

WK: Terima kasih pada Cik Wan Nurul Hidayu kerana sudi diwawancara untuk Warta Kampus. Semua warga dan para pelajar UPSI merasa bangga atas pencapaian pingat emas mewakili negara dalam acara silat olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA). Apa ulasan saudari berhubung pencapaian tersebut?

WNHAR: Saya gembira sangat jika kejayaan saya ini dapat dikongsi bersama. Pada pertandingan akhir kejohanan tersebut saya telah menentang pesilat dari negara Vietnam untuk menentukan pingat emas. Dalam hati ada juga rasa gemuruh namun saya kuatkan azam untuk menyumbangkan pingat emas kepada negara. Alhamdulillah, saya dapat menewaskan pesilat tersebut dengan tiga kali jatuhan, tendangan tepat, tangkapan luar dan teknik sapuan depan. Pihak juri pertandingan tersebut telah memberi kemenangan kepada saya dengan kiraan mata 5-0.

WK: Apakah antara insentif yang telah diterima setelah memperolehi pingat emas dalam kejohanan tersebut?

WNHAR: Pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) telah meluluskan biasiswa Kelas Pertama (Athlet Senior Antarabangsa) berjumlah RM4,500.00 bagi satu semester dan RM1,000.00 sebulan bermula dari semester 3. Jumlah keseluruhan insentif yang diterima adalah RM10,500.00 bagi setiap semester. Alhamdulillah, dengan insentif yang diterima dari KPTM kini saya tiada lagi masalah kewangan untuk belajar di universiti ini (ketawa).

WK: Sejak usia berapa tahunkah Cik Wan Nurul Hidayu mula mempelajari seni persilatan Melayu? Siapakah tenaga pengajar di UPSI yang banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan sehingga mencapai kejayaan memperolehi pingat emas dalam kejohanan tersebut?

WNHAR: Saya mula menceburi bidang seni silat Gayong Malaysia sejak saya berusia 14 tahun semasa di Kelantan. Kini saya dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Encik Noor Azman bin Abdul Aziz yang juga pensyarah TESL dari Fakulti Bahasa. Nasihat dan dorongan serta corak latihan yang sistematik telah membantu saya untuk memantapkan lagi ilmu persilatan. Di bawah bimbingan beliau juga saya lebih berkeyakinan untuk mengharumkan nama UPSI dan negara dalam kejohanan tersebut. Alhamdulillah, saya berjaya menyumbangkan pingat emas kepada negara.

WK: Apakah nasihat Cik Wan Nurul Hidayu kepada para pelajar UPSI agar mereka melibatkan diri secara lebih aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan menjulang nama UPSI di peringkat ASEAN dan antarabangsa?

WNHAR: Nasihat saya pada rakan-rakan pelajar sekalian agar mereka lebih aktif dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum seperti seni silat Melayu yang amat berfaedah dalam membentuk jati diri. Selain itu seni silat juga dapat memupuk ketahanan jasmani, emosi, dan intelek agar menjadi pelajar yang lebih cemerlang. Seni silat juga dapat membentuk sikap penyabar, berdisiplin, berfikiran positif dan gigih berusaha seperti kata peribahasa Melayu “Alang-alang menyeluk pekasam biarlah ke pangkal lengan”. Paling penting ialah keyakinan diri untuk mencapai sesuatu kejayaan. Berusahalah dengan penuh iltizam untuk menjulang nama UPSI ke persada yang lebih gemilang.

WK: Apakah wawasan Cik Wan Nurul Hidayu sebagai seorang pelajar untuk meningkatkan lagi imej UPSI sebagai sebuah universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan?

WNHAR: Sebelum melanjutkan pengajian di UPSI, saya pernah dilantik sebagai jurulatih sambilan PLN negeri Kelantan selama dua tahun (2007 hingga 2008). Saya pernah melatih pesilat remaja untuk kejohanan Singapore Open Championship pada Februari 2007 dan pasukan negara telah memperolehi 12 pingat emas. Paling membanggakan saya ialah pesilat bawah bimbingan saya dari negeri Kelantan telah dipilih sebagai pesilat terbaik kejohanan bagi kategori lelaki.

Setelah diterima melanjutkan pengajian di UPSI saya telah menanam bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik yang kompetan dan aktif bersukan. Selain itu saya juga ingin menjadi seorang jurulatih seni silat yang dapat melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh silat bagi mewakili universiti dan negara ke peringkat antarabangsa. Saya pernah terlibat dalam pengendalian kursus Kepengadilan pada 12 hingga 15 Mac 2009 dan Kursus Kejurulatihan pada 19 hingga 23 Mac 2009. Saya juga sedang merancang beberapa program perlawanan persahabatan dan pertandingan antaranya Kejohanan IPT Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO), MASUM, SUPER 09 di mana UPSI terpilih sebagai tuan rumah kejohanan tersebut. Paling mencabar ialah untuk menganjurkan kejuaraan silat terbuka UPSI Piala Seri Bitara dan jemputan ASEAN pada semester hadapan (tersenyum).

Sumber: http://ismailman.blogspot.com/2009/05/wawancara-bersama-pemenang-pingat-emas.html