1Silat - Unity in Diversity

Wednesday 24 December 2008

Berita Silat

PENUNDAAN Kejohanan Silat Sedunia di Bali yang sepatutnya berlangsung bulan ini kepada Februari depan dianggap tuah buat kontinjen silat negara kerana mereka boleh menggunakan tempoh panjang itu dengan mengemaskinikan latihan pusat.

Ia sekali gus menghadirkan berita gembira kepada Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) memandangkan sebahagian besar pesilat negara sekadar menjalani latihan pusat sebulan sebelum tarikh sebenar kejohanan itu diadakan.

Penyelaras Pesaka, Osman Nok , berkata Pesaka menyambut baik keputusan itu sambil menyifatkan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ khususnya dalam misi memburu pencapaian sama ketika kejohanan diadakan di Kuantan, tahun lalu.

“Kami gembira apabila mendapat tahu kejohanan ditunda Februari tahun depan. Justeru, apa yang kami perlu lakukan dalam tempoh berkenaan ialah mengemaskini latihan selain meningkatkan teknik dan taktikal.

“Keputusan itu menyaksikan kami memiliki tempoh dua bulan sebelum kejohanan berlangsung. Dalam hal ini, kami perlu memastikan semua pesilat mendapat latihan secukupnya.

“Jika sebelum ini, hanya 13 daripada 30 pesilat menjalani latihan sejak awal tahun tetapi bakinya mula memasuki kem bulan lalu,” katanya.

Kejohanan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 25 Disember ini membabitkan penyertaan 17 pesilat negara bagi kategori silat olahraga manakala 12 pesilat lagi silat seni.

Penundaan itu terpaksa dilakukan atas permintaan negara Eropah yang secara kebetulan menyambut Krismas, esok.

Di Kuantan tahun lalu, skuad negara muncul naib juara keseluruhan dengan tujuh emas di belakang Vietnam (sembilan emas) dan Indonesia (tiga emas).

Penyertaan pasukan negara kali ini dibarisi gabungan pesilat senior dan junior. Pada Sukan Sea lalu, silat gagal meraih sebarang emas apabila semua pesilat negara termasuk mereka yang bergelar juara dunia tewas.

Sumber: http://pssbcs.blogspot.com/2008/12/berita-silat.html

Sunday 23 November 2008

Kursus Kejurulatihan Silat Olahraga UTP Tahap I

Pasukan Pencak Silat UTP dalam perancangan mengadakan Kursus Kejurulatihan Silat Olahraga Tahap I. Kursus ini bertujuan mendedahkan pesilat-pesilat kepada teknik latihan yang berkesan dan betul. Melalui kursus ini, pesilat akan didedahkan dengan teknik dan kemahiran latihan dan cara menguruskan latihan dengan betul.

Pesilat yang berjaya* akan menerima pentauliahan Sijil Jurulatih Silat Olahraga Tahap I bagi membolehkan mereka menjadi jurulatih dan menguruskan latihan silat olahraga di peringkat daerah. Dalam peringkat awal, Pasukan Pencak Silat UTP hanya akan mengadakan Kursus Kejurulatihan Silat Olahraga Tahap I sahaja. Walau bagaimanapun, Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap I akan tetap diadakan kelak.

Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh warga universiti, IPTA/S, politeknik, kolej komuniti, pertubuhan, kelab dan orang perseorangan. Ini bermakna, penyertaan adalah tidak terhad dan terbuka kepada sesiapa yang berminat.

Butir-butir kursus adalah seperti di bawah:
Tarikh: Mac 2009
Tempat: UTP Tronoh, Perak (Butiran lanjut akan diberitahu kelak)

Oleh itu, Pasukan Pencak Silat UTP dengan berbesar hati mengalu-alukan penyertaan dari semua golongan masyarakat, ahli seni beladiri dan pesilat di dalam dan luar sana. Akhir kata, kecil tapak tapak, nyiru kami tadahkan. Sekian, terima kasih.

Sila hubungi kami untuk sebarang pertanyaan.

* Untuk layak menerima pentauliahan Jurulatih Silat Olahraga Tahap I, dua kursus iaitu Kursus Kejurulatihan Silat Olahraga Tahap I dan Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap I harus lulus terlebih dahulu.

Sumber: http://pencaksilatutp.wordpress.com/2008/11/23/kursus-kejurulatihan-silat-olahraga-tahap-i/

Monday 14 July 2008

Kegiatan Silat di Sekolah dapat melahirkan insan yang mulia dan berhemah tinggi

Jabatan Pelajaran Selangor bersedia menjadi pengelola Kejohanan Silat Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2008. Pihak jabatan telah menetapkan kejohanan kali ini akan diadakan pada 16 – 20 Ogos 2008.

Memandangkan Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang mempunyai kemudahan penginapan dan dewan pertandingan yang sesuai, maka pihak jabatan menetapkan supaya kejohanan pada tahun ini akan diadakan di premis kolej ini. Pihak jabatan juga merasakan tempat tersebut mudah dikunjungi oleh masyarakat awam.

Acara dan kategori pertandingan yang dianjurkan adalah seperti tahun lalu, iaitu acara silat seni dan silat olahraga. Setiap acara dianjurkan pula pertandingan secara berasingan kategori putera dan kategori puteri bagi sekolah rendah dan menengah. Pasukan jemputan antarabangsa seperti tahun dahulu, hanya dibenarkan untuk menyertai acara silat olahraga. Negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand akan dijemput untuk menyertai kejohanan.

Dijangka hampir 550 orang pendekar muda akan berkampung di Klang untuk menyertai kejohanan ini. Ini adalah merupakan acara kemuncak bagi kegiatan silat di sekolah-sekolah. Penganjurannya mengharapkan supaya anak-anak muda di bangku sekolah akan terus bergiat dengan aktif dan menjadi insan dewasa yang berhemah tinggi, berhati mulia dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Sumber: http://www.ppdhl.net/v2/content/view/1111/30/lang,en/