1Silat - Unity in Diversity

Wednesday 24 December 2008

Berita Silat

PENUNDAAN Kejohanan Silat Sedunia di Bali yang sepatutnya berlangsung bulan ini kepada Februari depan dianggap tuah buat kontinjen silat negara kerana mereka boleh menggunakan tempoh panjang itu dengan mengemaskinikan latihan pusat.

Ia sekali gus menghadirkan berita gembira kepada Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) memandangkan sebahagian besar pesilat negara sekadar menjalani latihan pusat sebulan sebelum tarikh sebenar kejohanan itu diadakan.

Penyelaras Pesaka, Osman Nok , berkata Pesaka menyambut baik keputusan itu sambil menyifatkan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ khususnya dalam misi memburu pencapaian sama ketika kejohanan diadakan di Kuantan, tahun lalu.

“Kami gembira apabila mendapat tahu kejohanan ditunda Februari tahun depan. Justeru, apa yang kami perlu lakukan dalam tempoh berkenaan ialah mengemaskini latihan selain meningkatkan teknik dan taktikal.

“Keputusan itu menyaksikan kami memiliki tempoh dua bulan sebelum kejohanan berlangsung. Dalam hal ini, kami perlu memastikan semua pesilat mendapat latihan secukupnya.

“Jika sebelum ini, hanya 13 daripada 30 pesilat menjalani latihan sejak awal tahun tetapi bakinya mula memasuki kem bulan lalu,” katanya.

Kejohanan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 25 Disember ini membabitkan penyertaan 17 pesilat negara bagi kategori silat olahraga manakala 12 pesilat lagi silat seni.

Penundaan itu terpaksa dilakukan atas permintaan negara Eropah yang secara kebetulan menyambut Krismas, esok.

Di Kuantan tahun lalu, skuad negara muncul naib juara keseluruhan dengan tujuh emas di belakang Vietnam (sembilan emas) dan Indonesia (tiga emas).

Penyertaan pasukan negara kali ini dibarisi gabungan pesilat senior dan junior. Pada Sukan Sea lalu, silat gagal meraih sebarang emas apabila semua pesilat negara termasuk mereka yang bergelar juara dunia tewas.

Sumber: http://pssbcs.blogspot.com/2008/12/berita-silat.html