1Silat - Unity in Diversity

Saturday, 14 April 2007

Silat olahraga jejas seni warisan nusantara

PENCAK silat yang diiktiraf sebagai satu seni rumpun Melayu nusantara pada seminar persilatan yang diadakan sempena Festival Silat Nusantara di Terengganu pada 1997 mencetuskan tanda tanya apabila ia kini mula dimonopoli oleh negara asing seperti Vietnam, Myanmar, Filipina dan tidak kurang juga negara dari Eropah.

Malah, Malaysia dan Indonesia yang satu ketika dulu dijulang sebagai negara utama pengembang seni silat di dunia, kini mula gentar dengan peningkatan drastik Vietnam di setiap kejohanan yang membabitkan sukan terbabit.

Kini, senario sukan pencak silat dunia yang menampilkan beberapa kategori seperti silat olahraga dan beberapa kategori seni semakin dikelirukan kerana pemerhati sukan itu sejak dulu melihat berlakunya arus yang merubah keaslian seni silat yang dibanggakan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka itu.

Hakikatnya, wajarkah seluruh warga nusantara berasa gusar dengan senario ini dan beranggapan seni silat sudah jatuh ke tangan negara asing dan terus mendakwa bahawa Malaysia tidak layak lagi digelar kuasa unggul seni persilatan Melayu.

Jika diperhatikan secara terperinci, pastinya seluruh warga persilatan bersetuju bahawa seni silat yang dibawa ke medan pertandingan kini tidak layak digelar silat kerana ia seakan-akan acuan seni pertahanan diri lain.

Peminat silat tidak berpeluang lagi melihat keaslian silat seperti langkah perguruan, seni pukulan asal, gerak lenggok tari asli dan seni kuncian malah boleh dikatakan yang ada di gelanggang pertandingan silat kini sama dengan apa yang dipertontonkan di gelanggang taekwondo, karate dan beberapa seni pertahanan diri negara luar.

Gurulatih Utama Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM), Majid Md Isa, berkata seni silat yang dipertandingkan kini tidak layak digelar silat kerana tiada lagi keaslian silat digunakan dalam setiap kategori dipertandingkan.

Malah, katanya, tiada apa lagi yang boleh dibanggakan masyarakat silat kini kerana apa yang dipertontonkan pada khalayak dunia lebih bersifat satu seni campuran yang dipertandingkan atas nama silat.

"Cubaan negara luar mewujudkan pelbagai kategori yang menghapuskan terus seni keaslian silat jelas kelihatan dalam pertandingan silat olahraga di mana kaedah kunci, langkah seni asli dan permainan pertubuhan tidak lagi digunakan malah teknik kuncian terus diharamkan dalam sukan itu.

"Jadi, bagaimana kita mahu menggelarnya sebagai seni silat jika ia tidak lagi menggunakan seni permainan silat. Apa yang dirisaukan, pada masa depan seni ini akan terus hilang jika generasi muda yang sepatutnya mewarisi seni ini didedahkan dengan sesuatu yang bersifat rekaan.

"Bagaimanapun, apa yang diamalkan di beberapa gelanggang silat di pelosok kampung masih lagi mengekalkan keasliannya dan wajar diangkat sebagai seni silat yang harus dipelajari generasi muda supaya ia tidak terus tenggelam dengan strategi sukan negara asing," katanya.

Jika diperhalusi kata-kata itu, diakui ada kebenarannya kerana setiap pertandingan pada masa ini menampilkan satu corak permainan seragam yang langsung tidak menggambarkan keindahan seni pertubuhan masing-masing seperti yang dapat kita lihat pada masa dulu.

Jika kita melangkah ke pelosok kampung, di kenduri perkahwinan, pastinya kita leka melihat kelembutan permainan seni tari asli silat yang dipersembahkan di depan pengantin malah seni permainan silat pulut yang popular di kalangan orang lama, amat indah dipertontonkan.

Tetapi, mampukah kita melihatnya secara meluas kini dan adakah generasi muda menggemarinya kerana ia langsung tidak menjanjikan peluang mengembangkan bakat di persada sukan antarabangsa.

Pastinya persoalan ini perlu diberi perhatian kerana jika seni silat yang diangkat sebagai satu-satunya seni pertahanan diri bangsa Melayu, jika dibiarkan dicerobohi dan diadun sesuka hati, akan menyebabkan kita kehilangan satu seni yang boleh dibanggakan selama ini.

Namun, persoalannya adakah kita mampu bertindak mengembalikan seni itu ke landasan sebenarnya sedangkan Pertubuhan Silat Kebangsaan (Pesaka) sebagai badan yang bertanggungjawab memayungi 386 pertubuhan di seluruh negara juga seakan sentiasa berkecamuk dengan isu dalaman sehingga kadang kala terlupa berkenaan matlamat asal penubuhan untuk menjaga martabat silat sejagat.

Jika dulu, Malaysia boleh mendabik dada dengan seni permainan yang digeruni seluruh dunia pada zaman kejaguhan nama-nama besar seperti Wan Aminuddin Baki, Abdul Ghaffar Abdul Majid (Jebat) dan Rozaidi Abdul Rahman sebagai jaguh persilatan yang amat memelihara keaslian silat, kini, kita dihidangkan dengan jaguh saduran yang leka mengkaji teknik permainan dari negara luar.

Pergilah ke ceruk mana sekalipun, masyarakat persilatan negara kita kini begitu taksub dengan pelbagai teknik negara luar. Malah ada ketika jika diamati ia tidak ubah seperti teknik yang digunakan dalam sukan wushu dan karate.

Rasanya, sudah sampai ketikanya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bertindak untuk mengembalikan seni warisan masyarakat Melayu itu supaya ketika negara ini berjaya pada 2020, kita masih mampu berkata `Inilah budaya asli kita'.

Tetapi, mampukah kementerian menjalankan tanggungjawabnya secara berkesan kerana seluruh warga persilatan sedia maklum bahawa kementerian pada satu ketika dulu pernah berura-ura mewujudkan Seni Silat Malaysia yang menggunakan silibus seragam pada setiap pertubuhan sekali gus bakal menghapuskan terus seni asal setiap pertubuhan.

Tepuk dada tanya selera. Jika kita mahukan seni ini terus dipertahankan, setiap yang bertanggungjawab perlu segera bangkit dan berusaha menyelamatkan seni ini daripada terus ditindas dan dinodai secara terang-terangan dengan apa cara sekali pun. Ingat kata hikmat Laksamana Hang Tuah: `Takkan Melayu hilang di dunia'. Tetapi adakah Melayu hanya kekal pada nama tanpa ada seninya?

Sumber: http://setanjak.blogspot.com/2007/04/silat-olahraga-jejas-seni-warisan.html